PERAN GURU PAI DALAM MEMBANGUN AKHLAK BANGSA

TANTANGAN SEORANG GURU

Peranan guru dalam usaha menyokong pembentukan tiga teras utama yang ditekankan dalam usaha pembinaan negara bangsa, iaitu memperkukuhkan perpaduan, membina identiti nasional dan semangat kebangsaan serta membangun sumber manusia bersesuaian dengan keperluan menghadapi globalisasi adalah sangat penting. Oleh demikian penting bagi setiap guru memahami peranan dan tanggunjawab masing-masing. Ini adalah kerana peranan dan tanggungjawab guru sememangnya memberi impak yang besar dan mendalam dalam diri setiap individu itu.

Dalam konteks pendidikan, seseorang guru tidak boleh lari daripada memahami konsep dan teras utama yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), Rukun Negara, Wawasan 2020, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) dan Misi Nasionalnya. Semua ini menekankan faktor kepercayaan kepada Tuhan atau dengan kata lain pendekatan dari segi agama haruslah menjadi perkara yang ‘first and foremost’ dalam diri seorang individu yang bergelar guru. Ibu bapa mengharapkan sekolah dan guru dapat meningkatkan kepercayaan kepada Tuhan dalam diri pelajar. Perkara ini menjadi lebih dan kritikal dalam kehidupan pada era globalisasi. Maksudnya, kehidupan yang terlalu bersifat materialistik, teknologi,kemewahan dan hiburan boleh menjejaskan keinginan manusia kepada Tuhan.

Jadi dalam usaha membentuk pelajar yang memiliki ciri-ciri yang mampu membina sebuah negara bangsa suatu hari kelak, guru haruslah menjalankan peranannya dalam:

A.    Pendidikan akhlak asas pemilihan dan amalan nilai

Ciri perkampungan global dari segi ideologi, nilai, sosiobudaya dan pemikiran yang diketengahkan melalui ledakan maklumat ini merujuk kepada model yang direka bentuk oleh pengasas dan penaja sistem teknologi maklumat dan teknologi telekomunikasi yang telah tersebar luas di seluruh dunia. Kedhaifan kebanyakan Negara Dunia Ketiga dalam ilmu pengetahuan dan kemahiran teknologi maklumat dan telekomunikasi memungkinkan mereka sukar untuk menolak gelombang yang besar dan berisiko ini (Mohamad, 1995). Oleh itu, perubahan dalam arus teknologi maklumat di negara ini telah menyebabkan wujudnya gejala sosial yang baru, misalnya isu pornografi

Arus teknologi maklumat dan komunikasi yang semakin menggila memudahkan lagi pelajar terjebak dengan nilai negatif. Di sinilah kita memerlukan pendidikan akhlak iaitu pendidikan yang dapat membina keyakinan, kefahaman, penghayatan dan pengamalan nilai murni yang terkandung dalam ilmu wahyu iaitu Al –Quran dan As-sunnah. Terlalu banyak nilai murni yang selaras dengan fitrah insan terkandung dalam ilmu wahyu. Guru boleh merujuk pada nilai berkenaan dan seterusnya membina nilai positif yang diinginkan menerusi pengajaran dan pembelajaran. Apabila guru berjaya melaksanakan pendidikan akhlak pada peringkat awal,  maka akan lahirlah pelajar yang cemerlang dalam kedua-dua aspek iaitu akademik dan sahsiah. Biar apa pun nilai yang dipilih dan diamalkan pelajar, ia hendaklah tidak bertentangan dengan agama dan wahyu.

Perkara inilah yang diharapkan ibu bapa dan masyarakat untuk dilaksanakan oleh guru. Ibu bapa dan masyarakat mengharapkan anak mereka cemerlang dalam pelajaran dan pada masa sama mengamalkan nilai murni. Tugas ini memang sukar dilakukan guru. Bagaimanapun jika guru menjalankan tugasnya sebagai ibadah dan ingin membentuk pelajar sebagai insan, maka tugas itu akan menjadi mudah dan memberangsangkan, InsyaAllah. Inilah yang dimaksudkan dengan tugas hakiki guru yang sepatutnya diangkat menjadi etika keguruan.

a.       Keharmonian fitrah teras amalan tingkah laku

Matlamat pendidikan negara ini antara lain termasuklah mendidik pelajar supaya memilih dan mengamalkan tingkah laku yang baik. Malangnya hari ini kita berhadapan dengan tingkah laku pelajar yang cukup negatif seperti tingkah laku ganas dan jenayah di sekolah dan dalam masyarakat. Kenapa perkara ini berlaku? Antaranya mungkin kerana kita gagal membina konsep fitrah atau tabii pelajar menjadi liar dan ganas sehingga mereka memilih tingkah laku negatif dan tidak normal. Jika dibiarkan, tingkah laku ini akan berkekalan dari alam pelajar dan persekolahan hinggalah ke alam dewasa dan kehidupan

Tugas guru adalah untuk memastikan suasana pengajaran dan pembelajaran sentiasa memelihara dan menyuburkan fitrah atau tabii pelajar supaya harmoni dan sihat. Fitrah atau tabii murni inilah akan membina tingkah laku normal. Inilah etika guru yang diharapkan. Sekali lagi, tugas ini hanya akan berjaya dilaksanakan sekiranya guru merealisasikan amanah ibadah dan pembangunan insan dalam menjalankan tugas pengajaran dan pembelajaran.

b.      Pembangunan insan asas kualiti hidup

Setiap manusia inginkan hidup yang berkualiti. Biasanya ia dikaitkan dengan kejayaan mencapai prestasi hidup yang tinggi dan diiktiraf masyarakat. Kualiti hidup bermaksud kejayaan memperoleh status yang tinggi, kemewahan dan kebendaan. Namun konsep kualiti ini tidaklah memenuhi matlamat pendidikan sebenarnya kerana kebendaan dan kemewahan semata-mata tidak menjamin kehidupan yang sejahtera dan sesuai dengan fitrah insaniah. Oleh itu perlulah dicari pengertian kualiti hidup yang lebih lengkap

Menurut paradigma pendidikan bersepadu, kualiti hidup bermaksud kehidupan yang harmoni dengan fitrah insan iaitu gaya hidup yang sentiasa harmoni dengan tabii atau fitrah insan yang dianugerah Allah SWT. Persoalannya bagaimanakah untuk membina kualiti hidup menerusi pendidikan? Dalam hal ini kita memerlukan guru yang dapat  menjalankan tugasnya sebagai ibadah, dengan sendirinya ia akan berminat untuk membangunkan insan. Insan itulah juga yang akan digunakan untuk membangunkan negara bangsa. Apabila ciri insan terbina dalam diri pelajar, tentulah mereka dapat menjalani hidup secara harmonis dengan fitrah atau tabii yang dianugerahkan Allah SWT. Inilah yang dinamakan kualiti hidup. Dengan perkataan lain guru yang mengamalkan etika keguruan ( tugas hakiki guru ) akan dapat melahirkan pelajar dengan ciri keinsanan yang kehidupannya  harmonis dengan fitrah atau tabii yang dianugerahkan Allah SWT.

c.       Penghayatan dan amalan nilai-nilai keguruan ke arah pembinaan negara dari aspek kualiti peribadi dan kualiti professional

Kita tentu pernah mendengar kenyataan bahawa kecemerlangan seseorang guru tidak terbatas pada kebolehannya melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran dengan baik tetapi juga pada kualiti peribadinya yang tinggi kerana guru diharapkan mempamerkan peribadi contoh kepada pelajarnya. Oleh itu, ketinggian kualiti peribadi guru juga boleh menjadi pemangkin kecemerlangan sesebuah sekolah melalui usaha mereka menyediakan pelajar sebagai modal insan masa depan. Pembinaan modal insan adalah teras kepada kejayaan bangsa dan negara. Ia merangkumi proses lengkap membentuk tenaga kerja manusia yang berilmu, berakhlak, berkemahiran, berdaya saing dan berdaya tahan. Selari dengan aspirasi negara dan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang meletakkan usaha membina budaya baru iaitu berani berlumba, membina prestasi serta memiliki merit hingga dapat  bersaing dan bertanding pada peringkat antarabangsa, pembinaan modal insan turut menjadi teras dalam Rancangan Malaysia Kesembilan ( RMK-9 ).

Strategi pembangunan insan atau sumber manusia seperti disarankan dalam RMK-9 seharusnya dilaksanakan secara menyeluruh dan holistik . Sebab itulah kerajaan melabur secara besar-besaran  dalam bidang pendidikan supaya mampu menghasilkan nilai tambah kepada negara dalam jangka panjang. Bagi mencapai agenda negara itu, pendidikan menjadi wahana utama. Pelajar di semua peringkat perlu dididik dengan sempurna.  Dalam hal ini, warga pendidik adalah golongan di barisan paling hadapan dalam usaha membina generasi masa depan Malaysia yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

d.      Menjadi agen sosialisasi kepada pelajar

Sekolah merupakan agen kebudayaan dan sebahagian daripada fungsi pengajaran adalah untuk melahirkan nilai-nilai kebudayaan. Dengan itu, proses sosialisasi pelajar-pelajar merupakan satu fungsi yang sah serta positif untuk dikendalikan oleh pihak sekolah. Menurut Durkheim, peranan guru pendidikan moral dan tugas sekolah adalah untuk mengajar pelajar-pelajar tentang nilai-nilai kemanusiaan dan kemasyarakatan. Beliau berpendapat bahawa keluarga terlalu kecil dan terlalu berunsur peribadi untuk menggambarkan keseluruhan sistem sosial. Juga, beliau mengganggapkan guru sebagai agen yang utama dan merupakan pertalian yang kritikal dalam proses pengaliran kebudayaan.

Guru juga perlu menjalankan peranannya sebagai individu yang paling dekat dengan pelajar semasa pelajar berada di sekolah. Oleh itu guru mestilah melaksanakan peranannya sebagai pengganti ibu bapa. Ini amat penting kerana hubungan yang rapat akan menerbitkan rasa hormat pelajar kepada guru atau orang lain di sekolah. Pelajar akan rasai dihargai dan diberi perhatian. Oleh itu tidak akan ada mana-mana pelajar beranggapan kehadiran mereka di sekolah seolah-olah tidak disedari oleh orang lain. Ini akan dapat mengelakkan mereka daripada melakukan vandalisme dengan alasan ingin menarik perhatian rakan atau guru.

Oleh itu, usaha melahirkan warga pendidik yang berkualiti, komited dan berdedikasi perlu diteruskan manakala hal ehwal kebajikan mereka perlu dipelihara sejajar dengan keyakinan dan kepercayaan kerajaan bahawa pendidikan adalah wadah pembinaan modal insan yang berkesan. Modal lain seperti wang, teknologi dan bangunan tidak mungkin sempurna jika tidak ditunjangi dengan modal insan. Oleh itu, konsep pendemokrasian yang memberi peluang adil dan sama rata kepada semua rakyat mendapatkan pendidikan berkualiti wajar diteliti dan diberi perhatian.

 

About sitinurfajar

saya manis
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s